Profil




VISI
Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera

MISI
Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara.

MOTO


Disiplin Motivasi Kecemerlangan



 PIAGAM PELANGGAN


Kami berikrar untuk memberikan perkhidmatan cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawab berikut : -

Mendidik dan membimbing pelajar dengan penuh komited, ikhlas dan proaktif mengikut tugas yang telah diamanahkan.
Menyemak tugasan dan kertas jawapan ujian / peperiksaan pelajar dengan cepat, sistematik dan berkesan.
Menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran  yang bersih, selesa, lengkap, menarik, ceria dan kondusif.
Menyediakan, melengkap dan mengemaskini dengan cepat maklumat diri, rekod mengajar, buku kehadiran staf,  buku kedatangan pelajar, pelaporan analisis ujian / peperiksaan, pelaporan prestasi akademik dan kokurikulum pelajar, serta rekod-rekod lain yang diperlukan.
Bekerjasama dengan para ibu bapa atau penjaga  dan komuniti serta “stakeholder” yang lain demi kecemerlangan sahsiah pelajar, kurikulum serta kokurikulum sekolah.


 

Sejarah Dan Latar Belakang SMK Dt.Pg. Abdullah


S
ejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Panglima Abdullah (SMKDPA) bermula pada tahun 1963 dengan terbinanya sekolah yang diberi nama Government Junior Secondary School. Menyusuri peredaran zaman, sekolah yang pertama dibina di daerah Semporna ini telah bertukar nama dan dikenali sebagai SMK. Semporna atau SMK. Abdullah.  Nama SMK. Abdullah sebenarnya berasal daripada nama seorang tokoh tempatan yang bertanggungjawab terhadap penubuhan dan pembinaan sekolah ini, iaitu Datuk Panglima Abdullah Bin Panglima Uddang.  Pada tahun  2001, nama sekolah diperkasakan lagi dengan penambahan pada nama SMK. Abdullah kepada SMK. Datuk Panglima Abdullah.

Kemudahan fizikal sekolah pada asalnya terdiri daripada sebuah dewan dan dua blok bangunan yang masing-masing digunakan sebagai bilik darjah dan asrama. Disebabkan kedudukan yang strategik, dengan jarak 4.5 km dari pekan Semporna dan terletak di tepi jalan antara Semporna ke Tawau, telah menyebabkan ibu bapa lebih cenderung menghantar anak mereka bersekolah di sekolah ini.  Menyedari keadaan itu, pada tahun 1971, Syarikat Anak Negeri Semporna telah membiayai pembinaan tiga buah bangunan kayu yang terdiri daripada bilik darjah dan rumah guru.

Tahun demi tahun bilangan pelajar semakin bertambah ramai. Untuk menampung pertambahan pelajar pada tahun 1974, empat buah blok bangunan baru telah dibina. Sementara itu, bangunan asrama baru telah dibina pada tahun 1983.  Manakala pada tahun 1985, dibina pula dewan makan asrama. Sehingga April 1988, termasuk bangunan “Projek Kilat” terdapat 13 buah bangunan sekolah keseluruhannya. Kemudahan-kemudahan lain yang turut disediakan dan dipertingkatkan termasuklah blok pentadbiran, makmal dan kemudahan-kemudahan sukan. Secara keseluruhan, purata bilangan pelajar berdaftar setiap tahun di SMK. Datuk Panglima Abdullah mencecah 2,000 orang pelajar.  Pada masa yang sama purata bilangan guru dan kakitangan bukan mengajar masing-masing lebih kurang 100 dan 18 orang.

Sehingga kini telah banyak kejayaan yang telah dikecapi oleh SMK. Datuk Panglima Abdullah sama ada di peringkat daerah, negeri atau kebangsaan. Antara kejayaan besar yang pernah digondol  termasuklah dinobatkan sebagai “Sekolah Harapan Negara” pada tahun 1990. Pada tahun 2004, mewakili negeri Sabah dalam pertandingan “Toyota Eco Youth” peringkat kebangsaan sekaligus telah menjuarainya . Pada tahun 2009, sekolah ini mendapat tempat kedua dalam pertandingan Pengurusan Kualiti Kewangan Kementerian Pelajaran Malaysia.Kini, SMK. Datuk Panglima Abdullah menempuhi cabaran yang lebih hebat apabila diberi gelaran Sekolah Impian dan Sekolah Kelas Rancangan Khas (KRK) Peringkat Negeri dan Daerah Semporna. Semoga segala komitmen dan daya usaha warga sekolah mampu merealisasikan Visi dan Misi sekolah.